Kini aku sudah pun berada dalam semester 7 pengajian ijazahku di Johor ini. Final exam ku pada sem ini nampaknya habis 2 minggu awal sebelum cuti pertengahan tahun. Buntu juga fikiranku bila tak tau hendak buat apa. Mujur ada junior ku mengajak ku menonton Teater Imam Bukhari – Perawi Hadis Sahih. Inilah pengalaman pertamaku menonton teater. Sebelum ini aku bukanlah kaki teater. Tetapi untuk kali ini aku tertarik menontonnya untuk mengetahui serba sedikit tentang tokoh hadis yang termasyhur ini.
Sekalung tahniah ku ucapkan kepada Waqaf An-Nur Coperation Berhad (WANCorp) dan juga Jabatan Mufti Negeri Johor kerana menganjurkan alternative hiburan berunsur Islam seperti ini. Islam tidak pernah menolak fitrah manusia untuk berhibur. Islam hanya menolak hiburan yang tidak menepati syariat yang ditetapkan. Teater yang di bawah arahan Othman Zainuddin ini telah berjaya menarik seramai 3000 orang pada hari kedua pementasannya.
Secara jujurnya saya sangat berpuas hati dengan pementasan yang dijalankan. Ada unsur serius. Ada unsur kecidan. Ada unsur sedih yang berpadu yang menarik perhatian penonton hingga ke akhir. Mungkin tidak perlu diceritakan secara terperici apa yang berlaku tersurat di sebalik pementasan tersebut
Entry kali ini saya lebih suka fokuskan kepada apa pengajaran yang kita boleh ambil dari teater tersebut. Adapun nama “Bukhari” itu bukanlah nama asal kepada perawi hadis sahih yang kita kagumi ini. “Bukhari” itu merupakan gelaran yang dinisbahkan kepada tempat kelahiran beliau iaitu “Bukhara” di Uzbekistan. Nama sebenar beliau ialah Muhammad bin Ismail bin Ibrahim Mughirah bin Bardizbah
Sebut sahaja Imam Bukhari ramai yang mengenalinya. Beliaulah perawi hadis-hadis sahih yang menjadi rujukan umat Islam sehingga kini. Berikut merupakan beberapa pengajaran yang saya dapat ambil:
- 1. Kecintaan terhadap ilmu.
Kecintaannya kepada ilmu dapat dilihat apabila dari usia muda lagi beliau telah meninggalkan kampung halaman tercinta dan merantau ke seluruh Tanah Arab seperti Kufah, Mesir, Damsyik dan Baghdad dalam misi pengembaraannya untuk mengumpul, memulihara dan mempertahankan hadis yang menjadi sumber rujukan umat Islam. Pemilihan murabbi-murabbi (guru-guru) yang mursyid juga penting dalam mencari keberkatan ilmu. Cukup terkesan bagi saya pada satu babak di mana pada ketika itu Imam Bukhari dan sahabatnya, Imam Muslim yang telah difitnah oleh pemerintah dan pegawai-pegawai yang busuk hati kepadanya. Mereka telah mengambil keputusan untuk berhijrah dan meninggalkan negeri itu. Pada saat mereka meninggalkan negeri itu harta yang mereka miliki hanyalah Al Quran dan Kitab-kitab hadis yang telah dikumpulkan. Alangkah miskinnya ilmu kita berbanding ulama’-ulama’ terdahulu.
- 2. Kesabaran dalam menghadapi ujian dalam menegakkan kebenaran
Inilah asam garam bagi pendakwah. Kehidupan pendakwah, pejuang-pejuang ISLAM pastinya bukan kehidupan yang senang dan selesa. Kehidupan mereka bukanlah kehidupan yang dihamparkan dengan permaidani merah, berkereta mewah, tinggal di kediaman-kediaman indah lagi selesa. Mereka pastinya akan diuji dengan pelbagai ujian dan fitnah. Maka kehidupan Imam Bukhari juga begitu. Ia difitnah, diejek, dikejii, dihalau dari negerinya sendiri dan pelbagai lagi ujian yang menimpanya.
Perkara ini bertambah sedih apabila bangsa yang seakidah dengannya yang menghalau dan mengejek beliau. Sejarah kini berulang kembali pada zaman ini. Lihatlah di Negara-negara orang Islam. Orang Muslim bercakaran sesame sendiri. Ulama’-ulama’ dihina. Malah ada juga pengampu-pengampu dari kalangan mereka yang mendalami agama memuja-memuji pemerintah-pemerintah yang jelas melanggar hokum-hukum Allah. Mereka sedar akan kebenaran yang sepatutnya. Tetapi mereka sembunyikan malah membisu di hadapan pemerintah-pemerintah zalim semata-mata untuk menjaga kepentingan peribadi dan periuk nasi mereka sahaja.
Mungkin dua pengajaran utama ini sahaja yang dapat saya nukilkan untuk bacaan para pengunjung blog ini. Bagi mereka yang menonton teater ini, mereka pasti dapat mempelajari sesatu daripada teater ini sahaja. Jika menonton teater ini sekadar untuk berhibur tanpa mengambil apa-apa pengajaran maka rugilah mereka.
1 comment:
asalamualaikum..ada widget "I Love Islam" kat link ni
http://propito.com/2010/iloveislam-widget/
Post a Comment