Wednesday, December 21, 2011

Tolonglah ambil tahu!

"Ambil tahu ape bro.. ce cite ce cite"

"Ambil tahu pasal hal ehwal orang Islam"

"ooo.." dalam nada bosan untuk teruskan perbualan.

Mungkin situasi seperti ini acap kali kita jumpa di mana-mana. Pantang ajak berbual dan berbicara hal yang serius sedikit, apatah lagi bila mahu berbicara tentang agama si pendengar ambil pendekatan play safe.

"hm.. dah mula dah si ustaz ini nak bagi tazkirah"
"nak bagi ceramah free le tu. tak pun nak perli aku le tu"

Keluhan-keluhan hati yang biasa kita 'dengar'. Tatkala itu muka mula mengekspresikan rasa bosan, tidak bersedia mendengar dan lain-lain. Dari bahasa badan kita sudah tahu apa yang terbuku di hati. Helah dan alasan mula tercipta untuk mengelak dari terus 'dibebel'.

Realiti masyarakat

Ayuh kita buat bancian sedikit. Agak-agaknya berapa ramai tahu apa yang terjadi kepada saudara-saudara kita di Palestine? Ya. Mungkin akan ramai akan jawab sedang berperang, umat Islam ditindas. Kita susahkan sedikit soalan. Berapa ramai yang tahu peristiwa Sabra dan Shatila? Apa pula yang terjadi di Kashmir? Bilakah tahun kejatuhan khilafah Turki Islamiyah? Pasti ramai yang tidak mengetahuinya kan? Apakah yang sedang berlaku di Timur Tengah sekarang? Kenapa Muamar Ghadafi dibunuh? Bukankah dia seorang yang anti-Amerika? bukankah dia seorang pemimpin yang sangat menjaga kebajikan rakyat Libya?

"Ala.. itu semua hal luar negara la.. biarlah rakyat derang yang fikir.. buat apa susah-susah nak pening kepala masalah orang lain.."

Aduh. Alangkah malangnya jika ada yang berpendapat sebegini. Bukankah mereka itu juga saudara-saudara kita? Bukankah mereka umpama jasad kita juga?

إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ ۚ وَاتَّقُوا اللَّـهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ ﴿١٠
“ Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat..”


Al-Hujuraat ayat 10





Baiklah. kalau urusan umat Islam adalah 'terlalu jauh' untuk diambil tahu, urusan umat Islam di Malaysia ada ambil tahu kah? Apa yang sebernarnya berlaku semasa peristiwa Memali? Baru-baru ini peristwa 'serangan' JAIS ke sebuah gereja di Damansara, apa yang berlaku? Adam Adli turunkan bendera PM di PWTC? Siapa dia tu? Sambutan malam merdeka FRU belasah mahasiswa sampai masuk ICU? Kenapa jadi macam itu sekali?

"Arghh.. ni nak cite politik la ni"

Bukan persoalan cerita politik atau tidak. Tapi persoalannya adakah kita AMBIL TAHU atau TIDAK?!

Tak kiralah macam mana pun fahaman politik, biru ke hijau ke biru cair ke, roket ke bulan ke dacing ke.. kita semua adalah rakyat Malaysia. Kita semua membayar cukai. Adakah kita tahu ke mana wang yang kita bayar cukai itu dibelanjakan ke mana?

Kalau semua benda tak ambil tahu, apa yang anda semua ambil tahu? Mungkin ada beberapa golongan pada firasat saya berkenaan golongan yang cakna dan ambil tahu ini:-

  1. Golongan ahli ibadah. Bagi mereka tak perlu ambil tahu urusan-urusan umat Islam ini. Cukuplah mereka 'beribadah' di surau-surau, masjid-masjid. Mungkin dengan mengambil tahu urusan 'dunia' ini menjauhkan diri mereka dari Tuhan. Barangkali. Mereka hanya mementingkan agar mereka menjadi soleh dan solehah semata-mata. Apa guna jadi soleh-solehah kalau urusan umat Islam pun tak AMBIL TAHU!!
  2. Golongan orang kaya.Golongan kedua ini hanya ambil tahu urusan yang mendatangkan keseronokan, kemewahan, keuntungan diri mereka sahaja. Contohnya, kaki bola mereka cukup kenal pemain-pemain bola; tarikh lahirnya, kelab mana, anak pinak pemain bola dan lain. Contoh lain. Businessman. Mereka sangat ambil tahu tentang urusan perniaagaan mereka. untung rugi. Tak kesah lah kalau tak ambil tahu tentang urusan umat Islam, ditindas ke apa ke yang penting business aku untung.
  3. Golongan yang memang tak ambil kesah. Golongan katak bawah tempurung yang kena hempap dengan batu, tak keluar-keluar dari tempurung lagi teruk. Lantak lah semua urusan kat luar tu. yang penting aku boleh makan hidup, anak-anak aku membesar dah la.
Dari tidak cite pasal ambil tahu, cakna isu umat Islam. Penting sangat ke? Nabi ada cakap ke pasal kena ambil tahu urusan umat Islam ini?

Ye. Memang ada

Mudah-mudahan ia membantu menyedarkan kita semua.

عن حذيفة بن اليمان قال : قال رسول الله صلى الله عليه وآله وسلم : « من لا يهتم بأمر المسلمين فليس منهم ، ومن لا يصبح ويمسي ناصحا لله ولرسوله ولكتابه ولإمامه ولعامة المسلمين فليس منهم »

Daripada Huzaifah r.a., bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, “Sesiapa yang tidak mengambil tahu tentang urusan orang-orang Islam, maka ia tidak termasuk dari kalangan mereka. Sesiapa yang pada pagi dan petangnya tidak ikhlas kepada Allah dan RasulNya dan KitabNya dan pemimpinnya dan kepada umat Islam, maka ia tidak termasuk dari kalangan mereka (umat Islam)”


Hah?! Sesiapa yang tidak mengambil tahu tentang urusan orang-orang Islam, maka ia tidak termasuk dari kalangan MEREKA? Siapa mereka itu?


orang ISLAM lah...


Ya Allah.. macam itu sekali eh? ok2..mulai 2012 ini aku berazam untuk ubah sikap aku. Aku akan lebih peka dan lebih ambil tahu urusan umat Islam.. time kasih bro

Saturday, March 5, 2011

Aku Digigit!!!

Sekadar hiasan



Masa kecil-kecil dulu cita-citaku besar. Nak jadi doktor. Tapi hajatku tak kesamapaian. Kini aku bergelar seorang guru. Guru sekolah rendah di Negeri Maju 2010, Melaka. Maju? hehe.. Rezeki ku sebagai seorang cikgu. Namun aku bersyukur, bagiku setiap sesuatu itu telah ditentukan. He knows the best for me. Malah aku berbangga dan seronok menjadi guru. Betul. Jadi guru itu tidak kaya. Tidak mewah. Namun aku seronok mendidik dan melihat anak muridku dapat belajar sesuatu yang baru.

Setelah menamatkan pengajian selama lima tahun setengah di institusi latihan perguruan, aku kini menjadi guru juga akhirnya. Sudah hampir sebulan aku mengajar. Untuk tahun pertama ini aku diminta untuk mengajar Bahasa Melayu (Tahun 4 dan 5), Pendidikan Jasmani (Tahun 5) dan Pendidikan Seni (Tahun 1). Mujurlah aku mendapat subjek yang aku didedahkan di maktab. Cuma Pendidikan Seni sahaja yang kurang ada pengalaman untuk mengajar. Tapi kerana aku minat juga dengan seni, jadi tidak menjadi masalah besar bagiku.

Pendekatan untuk mengajar Tahap 1 dan Tahap 2 memang sangat-sangat berbeza. Tahap 1 banyak mengadu. Kejap-kejap mengadu, kejap-kejap mengadu. Sabar je la.

"Cikgu, tadi Syafiq kentot!!" Hahaha.

Macam-macam hal la budak-budak ni. Kadang-kadang budak-budak ni menyakitkan hati. Kadang-kadang buat kita tertawa. Nak buat latihan membina ayat pun letak nama cikgu dia. Mujur tulis yang baik-baik. Nak mengampu ke? Politik budak kecik!

Baiklah. Tak perlu nak cerita panjang-panjang. Apa kaitan dengan tajuk entry ni kan. Minggu ketiga mengajar seni Tahun 1. Aku pegang dua kelas Tahun 1 untuk seni. Satu kelas kedua satu lagi kelas terakhir. Peristiwa ni berlaku dalam kelas no. 2 tu. Masa seni untuk kelas ni adalah dua masa terakhir sebelum balik hari Jumaat. Minggu ini, mereka diminta untuk melukis gambar bunga. Tiru je gambar yang aku lukis di papan hitam. Setelah siap, budak-budak ini diminta untuk mewarnakan gambar. Kalau nak tambah rama-rama ke, rumah ke silakan. Jadi seperti biasa bila dah melukis dan mewarna ni kelas mulalah jadi bising sedikit. Nak pinjam pensel warna kawan la, bercakap la, tiru lukisan kawan la. Aku tinggi suara sedikit. senyap balik. Tak sampai 5 minit lepas tu bising balik. Kebetulan aku lukis gambar cacing di tanah.

"Cikgu, dia kata cikgu makan cacing!"
"Cikgu, dia pulak cakap cikgu makan kucing!"
Satu kelas ketawa dengar lawak budak tu. Kucing. Cacing. Dacing. Runcing.

Selesai sahaja menyiapkan lukisan mereka perlu hantar lukisan itu pada hari itu juga.

"Dah siap?"
"Beluummmm..."
"Tak siap tak boleh balik", ugutku.
"Cikgu, saya dah siap"
"Dah siap tulis nama dan kelas di belakang kertas kamu"

Krrringggg!!!! Bunyi loceng pun berbunyi membingitkan telinga. Balik. Murid pun bersiap-siap mengemaskan beg untuk balik.

"Beratur berdua-dua kat luar kelas dulu"

Setelah selesai semua beratur..

"Terima kasih kelas"
"Terima kasih Cikgu Shazwan/ Cikgu Hafeez".. ada pulak yang tersasul sebut nama Cikgu Hafeez. Mentang-mentang Cikgu Hafeez pun tinggi-tinggi pakai spect.

"Nama saya pun salah?!"
"hehehe".. Tersengih-sengih macam kerang busuk!

Seperti biasa sebelum balik budak-budak ni akan salam cikgu dia dahulu.
Lepas sorang, sorang. Sampai la giliran seorang budak laki ni..

Tiba-tiba..
Tak semena-mena..IBU JARI TANGAN KANANKU DIGIGIT BUDAK NI!!! *(&^%$#&
Mendidih darah!

Dia cepat-cepat lari. Tapi aku lagi cepat! Secepatnya tanganku dapat capai rambut dia.

"Adoi-adoi.. cikgu sakit!"
"Apsal awak gigit jari saya?!!!"
"Sori2 cikgu.. tak sengaja"
"Tak sengaja?!"

Lama gak la aku membebel budak tu.

" Sekarang saya bagi 3 pilihan kat awak. 1. hantar ke guru besar. 2. rotan. 3. gtau mak ayah awak"
"tak nak cikgu, tak nak. sori.. sori.. sori.. saya janji tak nak buat lagi"
"Kalau tiga2 tak nak saya gigit awak balik, nak?!"
"Jangan cikgu. Sakit! Gigi cikgu besar.. gigi saya kecik je"

Hahaha.. akhirnya aku lepaskan juga budak tu setelah budak tu betul-betul merayu dan berjanji tak nak buat lagi.. Inilah ragam-ragam budak2. Ape pun.. kepada semua pendidik, didiklah anak-anak muridmu dengan baik. Terapkan nilai-nilai ISLAM. Mereka semua adalah mad'u (orang yang didakwah) sedangkan kita adalah DAIE (orang yg mendakwah). Murid adalah amanah utk kita. Jalankan amanah dengan baik sebelum kita dipersoal di akhirat kelak


Saturday, January 1, 2011

Berjalan, bermusafirlah..



Alhamdulillah cuti sekolah kali ini sangat bermanfaat bagiku. Ada sahaja aktiviti dan program yang dijalankan. Sekurang-kurangnya masa ku tidak terbuang begitu sahaja. Apetah lagi dalam keadaan menunggu keputusan penempatan
guru ku. Macam-macam perasaan datang. Risau, berdebar, keliru dan sebagainya.

Baru-baru ini kami sekeluarga - ayah, mak, adik dan aku telah mengambil keputusan untuk bercuti jalan-jalan makan angin. Destinasinya: Bukit Tinggi, Pahang. Mungkin inilah masanya bersama keluarga tercinta bersama-sama. Tiada kelua
rga lain dalam hidup kami melainkan inilah satu-satunya keluarga tercinta kami. Inilah masanya kami mengukuhkan lagi ikatan ukhuwah sesama ahli keluarga. Syukur padaNya, kami dikurniakan keluarga yang sentiasa mengambil berat dan berkasih sayang sesama kami. Walaupun perancagan untuk ke Bukit Tinggi ini dibuat dalam saat terakhir, namun akhirnya buat keputusan untuk pergi juga. Aku bukanlah seorang yang suka kepada kerja-kerja ad hoc tanpa perancangan yang teliti.
Bukit Tinggi ini terletak di Pahang Darul Makmur. Namun tidak jauh daripada negeri Selangor. Ketinggiannya adalah hampir 3000 dari aras laut. Suasananya dingin, sejuk dan mendamaikan. Keadaannya hampir sama dengan Cameron Highland dan Genting Highland.

Aku bukanlah ingin sangat menceritakan perihal tempat ini. Apatah lagi jadi untuk jadi agent pelancongan. Cuma apa yang dikongsi di sini adalah berkenaan pengalaman dan iktibar sepanjang musafir di muka bumi Allah yang Maha Luas ini.

Hebatnya kejadian Allah

Setibanya kami di sana tidak putus-putus ucapan hamdalah kami lafazkan. Subhanallah! cantik sungguh pemandangan di sana. Tenang je melihat suasana di sana. Terdetik di hati kami, inilah bukti kebesaranNya. DIA lah juga yang mencipta dan mentadbir alam ini dengan sebaik-baiknya. Maha Suci Allah yang menjadikan bukit-bukau dan gunung-ganang sebagai pasak kepada bumi. Allah jugalah yang memberikan akal kepada manusia untuk mentadbir alam ini (khalifah). Sebab itu Allah tidak bagi kepada makhluk lain. Lihatlah kebesaran Allah. menjadikan manusia itu mempunyai akal. Adanya akal manusia mampu mendirikan penempatan di bukit-bukit. Dalam banyak ayat Al Quran, Allah menyuruh kita melihat dan memikirkan kejadian penciptaanNya. Subhanallah.

Allah bersifat Al Musawwir - Maha merupa bentuk. Dalam perjalanan menaiki bukit sampailah melawat dan melancong ke garden dan sebagainya kami dapat lihat pelbagai hidupan yang bermacam rupa bentuk. hatta kalau dalam jenis yang sama pon rupa berlainan. Bunga je dah macam2 jenis bunga.

Suara keldai

Gambar di sebelah ini adalah gambar keldai. Bukan kuda! Berhampiran dengan Bukit Tinggi ini juga ada satu tempat yang dipanggil Rabbit Farm. Tempat melihat dan bermain-main dengan arnab. Sebelahnya pula ada tempat untuk menunggang keldai. Pada peringkat awalnya si keldai ni diam je tak berbunyi. Tiba-tiba terdengar suara yang sangat hodoh. ''oo.. ekk.. ong.." (tak retilah macam mana nak eja bunyi keldai ni. Ya pastinya bunyi keldai ni memang hodoh, menjengkelkanlah.

Selama ini memang aku ketahui dan pernah membaca dalam surah Loqman : 19

"Dan lembutkanlah suara engkau! Sesungguhnya suara yang amat buruk ialah suara himar. [Luqman:19]

Namun, aku tertanya-tanya juga mengapa Allah mengatakan seburuk-buruk suara adalah hima@keldai. Kini bila aku mendengarnya sendirilah barulah aku faham. Ayat ini adalah berkenaan dengan larangan Luqman mengenai jangan melunakkan suara. bercakap pada kadar yang diperlukan sahaja. Baca blog ustaz amal

Mungkin sekadar ini sahaja perkongsian daripadaku :-)

Sunday, December 19, 2010

Kehidupan seharian kita penuh dengan warna-warni. Ada kalanya hidup kita terasa indah dan bahagia. Kita rasakan kitalah insan paling bahagia di dunia. Namun ada kalanya kita diuji dengan kesedihan, kemurungan, kematian, kemalangan, kecelakaan dan segala macam perkara buruk yang ada di dunia ini.

Namun itulah lumrah putaran kehidupan manusia. Itu juga menunjukkan lemahnya kita sebagai hamba. Kelemahan, kekurangan adalah ciri membuktikan kita hanyalah hamba yang hina di sisiNya. Allah Maha Berkuasa atas setiap sesuatu. Yang menurunkan kesusahan adalah Allah. Allah jua yang memberikan kesenangan. Kita kena yakin dengan sepenuh hati kita mengenai perkara itu.

Ajaib sungguh kehidupan orang mukmin. Dalam setiap perkara pasti ada kebaikan. Jika dia ditimpa musibah dia bersabar. Itu kebaikan untuknya. Jika dia diberi kenikmatan dia bersyukur. Itu juga kebaikan. 2 sifat yang perlu dipupuk dalam diri seorang mukmin dalam mengharungi kehidupan ini ialah rasa kehambaan dan rasa bertuhan.

Rasa kehambaan.

Hamba Allah. Ya. Kita hamba Allah. Ada kalanya bila kita menderma kita hanya meletakkan nama ‘Hamba Allah’ sahaja. Alhamdulillah. Mungkin nak mengelakkan riya’. Namun sejauh mana kita merasakan kehambaan kepada Allah?

Rasa kehambaan yang menebal dalam jiwa mukmin akan menghilangkan atau memusnahkan sifat-sifat mazmumah seperti hilang rasa riyak, ujub, sum’ah, sombong, pemarah, hasad, dendam dan lain-lain lagi.

Kita hanya faqir. Allah juga yang Maha Kaya. Lantas apabila rasa kehambaan dipupuk kita akan sentiasa berharap padaNya, berdoa padaNya dan memohon padaNya. Itulah hamba yang benar-benar hamba.

Seseorang hamba suka atau tidak, susah atau senang perlu mengerjakan setiap perintah tuanna. Begitu juga dalam konsep kehambaan kepada ALLAH. Kita hamba. Nak tak nak kita tetap perlu melaksanakan perintahNya. Kita melakukan amal dan meninggalkan segala larangan bukan semata-mata mahu ganjaran dariNya, tapi apa yang lebih penting adalah kita menyukakan Allah.

Rasa bertuhan

Rasa bertuhan adalah perlu seiring dengan rasa kehambaan. Rasa bertuhan bermaksud rasa ada Tuhan, rasa sentiasa diperhati.

Hari-hari sentiasa rasa ada yang memerhati. Setiap masa rasa ada yang Maha Kuasa. Setiap detik sentiasa rasa ada yang mencatat amalan.

Andai kita dapat merasakan perasaan-perasaan tersebut, secara automatic kita akan sentiasa berwaspada dalam setiap tindakan kita. Dalam kata lain kita akan bersifat wara’. Sifat takbur hanya selayaknya milik Allah.

Rasa bertuhan juga menjadikan mukmin itu lebih kuat, lebih yakin. Manakan tidak, apabila ada ujian dan masalah maka kita yakin Allah bersama kita. Siapa dan apa lagi yang lebih hebat dari ALLAH? Bila Allah tak mengizinkan sesuatu mudharat maka mudharat tersebut tetap tidak berlaku. Bila kita sedih, tiada tempat mengadu Allah ada. Mengadulah sepuas-puasnya di hadapan Allah. Subhanallah.

Rasa kehambaan dan rasa bertuhan ini tidak jauh beza dengan sifat mahmudah khauf (takut) dan raja’ (harap). Bila kita takut pada hantu kita akan harap pada dia ke? Tidak..

Tapi berbeza dengan Allah, lagi kita takut denganNya lagi kita dekat padaNya, lagi kita mengharap padaNya. Kenapa perlu takut? Sebab Allah Maha Kuasa, Perkasa. Ingat peristiwa tsunami? Letusan gunung berapi? Banjir? Bayangkan saat kita melakukan dosa turun bencana tersebut. Nauzubillah. Takutlah dengan ancaman seksaNya yang sangat2 pedih. Gigitan nyamuk pun kalah. Apatah lagi azab yang lebih pedih.

Kenapa pula perlu harap? Sebab.. kita tiada apa2. Segalanya dari Allah. Apa-apa pun dari Allah. Jadi, perlu la sangat-sangat kita harap padaNya. Malah dalam solat juga kita akui “hanya Engkau sahaja tempat kami menyembah dan kepada Engkau sahaja kami memohon pertolongan”. Wallahu ‘alam

Saturday, July 10, 2010

Isra’ & Mikraj : Mukjizat dan Ibrah

Surah Al Isra' : 1

Maha Suci (Allah) yang telah memperjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidil Haram ke Masjid Al Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya agar kami perlihatkan kepadanya sebahagian tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar, Maha Melihat



Masjid Al Aqsa : Di sinilah perjalanan Rasul saw ke Sidratul Muntaha bermula

Assalamualaikum kepada para pembaca

Sungguh indah kalam mulia salam ini. Dalam sapaan ada doa kepada saudara seakidah dengannya. Di Malaysia, di Palestine, di Indonesia, di UK, USA, German, India, Jepun semua umat Islam menggunakan kalimah sapaan beserta doa ini. Memberi salam sunah, dapat pahala malah menjawabnya menjadi wajib. Kenapa wajib jawab salam? Ye la.. orang dah doakan kebaikan kepada kita kenapa tidak kita juga mendoakannya dengan menjawab salam. Sudah cukup indah kehidupan Islam dalam memberi sapaan. Jadi tidak perlulah untuk salam-salam lain seperti salam 1Malaysia dan lain-lain. Sebelum saya mencoret lebih panjang dengan panjang lebar untuk kali ini rasanya ingin saya mengajak saudara-saudari pembaca untuk bersyukur kerana pada hari entry ini ditulis merupakan hari Isra’ dan Mikraj, 27 Rejab hari kebesaran umat Islam yang tidak patut dilupakan.

Seolah-olah sudah menjadi adat kebiasaan apabila tiba hari-hari kebesaran Islam maka di sana sini di corong-corong surau dan masjid akan kedengaranlah ceramah-ceramah berkaitan hari-hari kebesaran tersebut. Tidak terlepas peristiwa Isra dan Mikraj ini. klik

Bila disebut Isra’ dan Mikraj apa yang terlintas di kotak fikiran kalian? Naik langit. Buraq. Masjidil Haram. Masjid Al-Aqsa. Lagi? Apa ye? Peristiwa-peristiwa luar biasa, Abu Bakr membenarkannya sedang kafir Quraisy menafikan. Alhamdulillah. Betul la semua tu. Sekurang-kurangnya sesiapa yang terlintas apa yang saya nyatakan tadi maknanya kalian masih ingat dan ada asas berkenaan apa yang terjadi dalam peristiwa Agung ini. Bagi yang blur bila dengar tentang peristiwa ini maka koreksilah diri. Cubalah banyakkan membaca buku-buku agama. ingatan untuk diri sendiri juga sebenarnya.

Isra’ Mikraj bukanlah semata-mata bercerita, berceramah mengenai peristiwa-peristiwa yang berlaku sepanjang perjalanan Junjungan Agung Nabi Muhammad saw, tetapi apa yang lebih penting adalah ibrah dan pengajaran di sebalik apa yang telah diperlihatkan kepada Baginda saw.

Tuntutan solat 5 waktu

Kita sedia maklum antara peristiwa yang berlaku adalah perintah Allah kepada umat Islam untuk solat 5 waktu. Tak perlulah diceritakan dengan lebih teliti bagaimana peristiwa Nabi ulang alik berjumpa Allah untuk dikurangkan dari 50 waktu akhirnya menjadi 5. Betapa besarnya tuntutan solat sehingga Allah sendiri yang memberikan perintah solat tanpa perlu kepada perantaraan Malaikat Jibril. Kesian kepada Nabi mulia Muhammad saw. Baginda terpaksa menebal muka memohon discount dikurangkan jumlah waktu bersolat kerana Baginda tahu umatnya tidak mampu untuk menunaikan sebanyak itu. Walaupun kita hanya solat 5 waktu tetapi Allah mengekalkan nilai 50 waktu. Subhanallah. Maha Pemurah Engkau, Ya Allah.

Cuba kita congak sekejap. Satu hari 24 jam atau 1440 minit. Kalau ditakdirkan kita perlu solat sebanyak 50 kali dalam masa sehari maknanya lebih kurang setiap 28 atau 29 minit kita perlu bersolat. Tetapi sekarang tuntutan solat hanya 5 waktu sahaja. Diulangi 5 waktu!! Malangnya terlalu ramai umat ISLAM hari ini yang meringan-ringankan tuntutan solat. Mereka telah meruntuhkan agama dalam diri mereka!!. Golongan ini seolah memandang enteng azab-azab ALLAH bagi mereka yang meninggalkan solat. Sibuk sangat dengan urusan duniawi. Sibuk sangat dengan berhibur. Sibuk sangat dengan harta dan kekayaan. Kalau kena gigit nyamuk pun dah tak boleh tahan apatah lagi azab ALLAH yang amat pedih!!!!!

Gambaran kepedihan azab dan kesenangan nikmat

Bila diteliti peristiwa-peristiwa yang diperlihatkan kepada Nabi Muhammad saw banyak perkara-perkara yang berbentuk azab dan tidak kurang juga janji Allah berupa kenikmatan bagi hamba-hambaNya yang soleh. Wahai gadis-gadis, makcik-makcik, datin-datin atau sesiapa sahaja yang dinamakan wanita Islam, tutuplah aurat kalian. Saya yang lelaki pun gerun bila tahu bahawa wanita yang tidak menutup aurat akan digantung pada rambutnya dan otaknya akan menggelegak dalam periuk. MasyaAllah. Meremang bulu roma. Kalau kawan tarik rambut pun dah sakit apatah lagi di hari pembalasan nanti. Bayangkan kalau tengah-tengah masak gulai di dapur tiba-tiba kita rendamkan kepala dalam periuk yang tengah menggelegak itu. Fuh.

Itu sebahagian dari azab yang telah diperhatikan kepada Baginda saw. Allah Maha Adil. Dalam peristiwa Isra’ dan Mikraj juga Allah perhatikan balasan baik bagi hamba-hambaNya yang menurut perintahNya. Rasulullah telah melihat pelbagai kenikmatan yang tidak ada di dunia. Antara pemilik-pemilik nikmat itu ialah mereka yang melazimkan dengan zikrullah dan taat kepada kedua ibu bapa. Subhanallah.

Lihatlah peristiwa-peristiwa Agung dengan mata hati. Apa yang penting ibrah dari sesuatu peristiwa itu bukanlah bermusim. Tetapi perlu sentiasa diamalkan. Moga Allah sentiasa membuka hati kita untuk sentiasa berusaha menjadi hambaNya yang taat. Amin

Friday, June 25, 2010

Bang, surau kat mana?

Gambar hisan

Cuti semester dah nak sampai ke penghujungnya. Kadang-kadang boring gak duduk rumah je. Macam biasa bila adik pun cuti sekali, maka selalulah layan dia berjalan. Dia memang kaki jalan. Kali ini destinasi yang dituju ialah Melaka Mall. Masa itu pun dah nak masuk waktu maghrib. Lepas makan malam aku ternampak ada pameran buku-buku agama. Aku tergerak nak pergi ke sana. Mak dengan adik masih lagu menghabiskan makanan di medan selera.

Di sinilah peristiwa pertama yang menarik perhatian ku. Seperti biasa di kedai buku atau pameran buku aku suka membelek-belek buku. Silap-silap kalau ada yang berkenan aku beli. Teringat pula nasihat Tok Guru Nik Aziz semasa merasmikan pesta buku di Kelantan. Dalam ucapannya beliau menasihatkan agar kita asingkan sedikit wang pendapatan untuk membeli buku-buku lebih-lebih lagiu buku-buku agama. Sedang tengah membelek-belek buku aku ternampak pasangan India. Aku yakin mereka ini beragama Hindu berdasarkan ada tanda marah di dahi perempuan itu. Apa yang cukup aku kagumi ialah mereka bukan sahaja membelek-belek buku novel bahasa Melayu tetapi mereka turut membelek buku agama dari segi akidah dan sebagainya. Dalam hati ku berdoa moga-moga suatu masa nanti mereka diberi hidayah oleh Allah taala dan menjadi sebahagian daripada saudara seakidahku. Amin.

Setelah itu aku dapat panggilan daripada adik ku. Rupanya mereka dah beredar dari medan selera itu. Ralit betul aku di kedai buku itu. Adik panggil aku ke bahagian kemeja lelaki. Rupanya mak dan adik ingin menghadiahkan ku kemeja dan seluar slack sempena birthday ku ke-24. Hehe. J setelah selesai mencuba dan padan dengan ku mak ku ke kaunter untuk membayar.

Jam dah 7.40 pm. Aku tak solat maghrib lagi! Aku terpandang seorang pekerja di pasar raya tersebut. Laki berbangsa Melayu dan aku cukup yakin dia juga beragama ISLAM. Aku berhajat untuk bertanyakan dia arah ke surau. Maklumlah aku jarang ke Melaka Mall ini dan tidak pernah bersolat di sini. Aku menghampirinya. Dalam masa yang sama berhampiran kami ada seorang pekerja wanita di pasar raya ini berbangsa India dan mungkin beragma Hindu.

“Bang, surau kat mane ye?”, sapaku kepada pemuda tersebut.

“Er, jap eh”, balasnya terpinga-pinga. Aku dah mula kehairanan. Dia tak tau di mana surau ke?

Tak semena-mena, dia mengahampiri wanita berbangsa India itu.

“Kak, surau di mana?”, tanya lelaki berkenaan serba salah.

Muka aku dah berkerut seribu. Kenapa dia kena tanya orang yang tidak ada kaitan surau dengan agama yang dianuti. Dalam hati aku berkata

“Takkanlah perempuan India ni tau kat mana surau”

Sangkaan ku jelas meleset. Dia memberi arah tunjuk ke surau itu!

Ya Allah, malunya aku! Saudara seakidah aku tidak tahu di mana surau sedangkan bangsa lain pula yang lebih tahu. Muka aku tebal menahan malu. Sempat juga aku jelling ke arah pemuda tersebut. Dia jelas lebih malu daripada aku. Tersengeh-sengeh macam kerang busuk. Malu ada. Marah ada.

Aku menceritakan pengalaman ku kepada sahabat baikku Rayyan. Dalam mesejnya dia membalas

Haha ~ this is reality muslim today

Aku cuba bersangka baik. Mungkinkah dia pekerja baru di sini. Tetapi kalau pekerja baru pun solat zohor dengan asar tadi dia bersolat di mana. Fuh…

YA ALLAH, ampunkanlah dosa pemuda ini. Berilah taufik dan hidayah kepadanya…

‘Kawan-kawan.. tingkatkan tarbiyah.. tingkatkan dakwah.. umat Islam kian parah!!!’

Tuesday, June 15, 2010

Teater Imam Bukhari – Perawi Hadis Sahih

Kini aku sudah pun berada dalam semester 7 pengajian ijazahku di Johor ini. Final exam ku pada sem ini nampaknya habis 2 minggu awal sebelum cuti pertengahan tahun. Buntu juga fikiranku bila tak tau hendak buat apa. Mujur ada junior ku mengajak ku menonton Teater Imam Bukhari – Perawi Hadis Sahih. Inilah pengalaman pertamaku menonton teater. Sebelum ini aku bukanlah kaki teater. Tetapi untuk kali ini aku tertarik menontonnya untuk mengetahui serba sedikit tentang tokoh hadis yang termasyhur ini.

Sekalung tahniah ku ucapkan kepada Waqaf An-Nur Coperation Berhad (WANCorp) dan juga Jabatan Mufti Negeri Johor kerana menganjurkan alternative hiburan berunsur Islam seperti ini. Islam tidak pernah menolak fitrah manusia untuk berhibur. Islam hanya menolak hiburan yang tidak menepati syariat yang ditetapkan. Teater yang di bawah arahan Othman Zainuddin ini telah berjaya menarik seramai 3000 orang pada hari kedua pementasannya.

Secara jujurnya saya sangat berpuas hati dengan pementasan yang dijalankan. Ada unsur serius. Ada unsur kecidan. Ada unsur sedih yang berpadu yang menarik perhatian penonton hingga ke akhir. Mungkin tidak perlu diceritakan secara terperici apa yang berlaku tersurat di sebalik pementasan tersebut

Entry kali ini saya lebih suka fokuskan kepada apa pengajaran yang kita boleh ambil dari teater tersebut. Adapun nama “Bukhari” itu bukanlah nama asal kepada perawi hadis sahih yang kita kagumi ini. “Bukhari” itu merupakan gelaran yang dinisbahkan kepada tempat kelahiran beliau iaitu “Bukhara” di Uzbekistan. Nama sebenar beliau ialah Muhammad bin Ismail bin Ibrahim Mughirah bin Bardizbah

Sebut sahaja Imam Bukhari ramai yang mengenalinya. Beliaulah perawi hadis-hadis sahih yang menjadi rujukan umat Islam sehingga kini. Berikut merupakan beberapa pengajaran yang saya dapat ambil:

  • 1. Kecintaan terhadap ilmu.

Kecintaannya kepada ilmu dapat dilihat apabila dari usia muda lagi beliau telah meninggalkan kampung halaman tercinta dan merantau ke seluruh Tanah Arab seperti Kufah, Mesir, Damsyik dan Baghdad dalam misi pengembaraannya untuk mengumpul, memulihara dan mempertahankan hadis yang menjadi sumber rujukan umat Islam. Pemilihan murabbi-murabbi (guru-guru) yang mursyid juga penting dalam mencari keberkatan ilmu. Cukup terkesan bagi saya pada satu babak di mana pada ketika itu Imam Bukhari dan sahabatnya, Imam Muslim yang telah difitnah oleh pemerintah dan pegawai-pegawai yang busuk hati kepadanya. Mereka telah mengambil keputusan untuk berhijrah dan meninggalkan negeri itu. Pada saat mereka meninggalkan negeri itu harta yang mereka miliki hanyalah Al Quran dan Kitab-kitab hadis yang telah dikumpulkan. Alangkah miskinnya ilmu kita berbanding ulama’-ulama’ terdahulu.

  • 2. Kesabaran dalam menghadapi ujian dalam menegakkan kebenaran

Inilah asam garam bagi pendakwah. Kehidupan pendakwah, pejuang-pejuang ISLAM pastinya bukan kehidupan yang senang dan selesa. Kehidupan mereka bukanlah kehidupan yang dihamparkan dengan permaidani merah, berkereta mewah, tinggal di kediaman-kediaman indah lagi selesa. Mereka pastinya akan diuji dengan pelbagai ujian dan fitnah. Maka kehidupan Imam Bukhari juga begitu. Ia difitnah, diejek, dikejii, dihalau dari negerinya sendiri dan pelbagai lagi ujian yang menimpanya.

Perkara ini bertambah sedih apabila bangsa yang seakidah dengannya yang menghalau dan mengejek beliau. Sejarah kini berulang kembali pada zaman ini. Lihatlah di Negara-negara orang Islam. Orang Muslim bercakaran sesame sendiri. Ulama’-ulama’ dihina. Malah ada juga pengampu-pengampu dari kalangan mereka yang mendalami agama memuja-memuji pemerintah-pemerintah yang jelas melanggar hokum-hukum Allah. Mereka sedar akan kebenaran yang sepatutnya. Tetapi mereka sembunyikan malah membisu di hadapan pemerintah-pemerintah zalim semata-mata untuk menjaga kepentingan peribadi dan periuk nasi mereka sahaja.

Mungkin dua pengajaran utama ini sahaja yang dapat saya nukilkan untuk bacaan para pengunjung blog ini. Bagi mereka yang menonton teater ini, mereka pasti dapat mempelajari sesatu daripada teater ini sahaja. Jika menonton teater ini sekadar untuk berhibur tanpa mengambil apa-apa pengajaran maka rugilah mereka.