Monday, August 24, 2009

Ramadhan.. Saya Rindu Sangat kat Awk:)

"Ramadhan.. saya rindu sangat kat awak..dah 11 bulan saya tunggu awak... akhirnya awak datang juga.Rindu sangat kpd awak".

Ramadhan kini menjelma lagi. Sifat orang yang beriman pastinya sangat merindui kedatangan Ramadhan. Bulan yang penuh dengan keberkatan dan pelbagai ganjaran apabila beramal di dalamnya. Rindu ini pastinya mengatasi rindu sang pencinta terhadap kekasihnya yang ditinggalkan selama 11 bulan.

Kalau sang pencinta merindui kekasihnya sehingga teringin sangat nak berjumpa dengan kekasihnya. Membuak-buak hati apabila masa bertemu semula dengan kekasihnya semakin hari semakin tiba. Begitulah juga dengan orang yang beriman yang terlalu merindui untuk bertemu semula dengan Ramadhan.

Dalam bulan inilah jiwa dan semangat untuk beramal berkobar-kobar. Ganjaran-ganjaran yang tersedia dalam bulan Ramadhan tidak disia-siakan. Seawal pagi sudah pun bangun berwudhu' mensucikan diri lantas merintih, menangis dan menghina diri di hadapan Dzat yang Maha Agung, Maha Suci dari segala kekurangan. Tahajud, Taubat, Hajat, Istikharah, Witir merupakan rutin harian bagi hamba-hamba yang cintakan Penciptanya, Allah. Apatah lagi dalam kemuliaan Ramadhan ini, maka bertambah-tambahlah amalan mendekatkan dirinya kepada Allah. Tidak dilupakan juga istighfar dan zikir-zikir menenangkan jiwa. Lalu bercucuranlah air mata sang hamba lantaran mengenang dosa-dosanya yang lalu.

Setelah itu ia pun bersahur dengan sekadar yang ada. Dia tidak ingin meninggalkan sahur kerana ia yakin bahawa di sebalik sahur itu ada keberkatan. Setelah azan dilaungkan maka bersegeralah sang hamba ke masjid menunaikan Solat Subuh berjemaah.

Kehidupan sehariannya tetap diteruskan. Bekerja mencari rezeki Allah yang halal. Namun sedikit pun tidak melalaikan sang hamba dari terus berzikir mengingati Allah. Solatnya juga tidak pernah ditinggalkan berjemaah di tempat azan dilaungkan. Masa rehatnya di bulan Ramadhan ini dipenuhi dengan tadarus al-Quran dan menambah kefahaman Islamnya dengan membaca buku-buku agama.Begitulah kehidupan sang hamba sehingga tidurnya kembali. Sang hamba sangat menggunakan peluang tatkala syaitan-syaitan dibelenggu untuk meningkatkan ketaqwaannya kerana Sang Hamba beriman dengan ayat dari Kekasihnya:

"Wahai orang-orang yang beriman! diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa"
Al-Baqarah : 183

Sang hamba juga yakin dengan hadis Ar-RAsul s.a.w:

"Barangsiapa berpuasa pada bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala dari Allah, nescaya diampuni dosa-dosanya yang telah lalu"
-Muttafaq 'alaih

Begitulah kehidupan orang-orang beriman yang tidak mensia-siakan peluang yang Allah beri pada bulan Ramadhan ini. Tanya diri, tanya iman, adakah amalan kita pada bulan Ramadhan dan bulan-bulan lain sama sahaja berada pada takuk yang lama? Alangkah ruginya kita jika sedemikian rupa.

Moga dengan tarbiyah yang kita lalui sepanjang Ramadhan ini akan lahirlah sebuah peribadi yang hebat, yang kukuh ruhiyy, kuat aqliy, muslih qalbiy dan terdidik serta tenang nafsunya untuk meneruskan kerja jihad sehingga ke hembusan nafasnya yang terakhir dengan kalimah thoiyyibah..لا اله الا الله


'Ya Allah jadikahlah aku beramal dengan apa yang aku perkatakan. Kecelakaan besar bagiku jika berkata tetapi tidak beramal dengan apa yang diperkatakan.

Ya Allah, berilah aku kekuatan untuk terus beramal dan menjadi hamba-hamba yang Engkau cintai dan kau redhai.Amin"