Sunday, December 19, 2010

Kehidupan seharian kita penuh dengan warna-warni. Ada kalanya hidup kita terasa indah dan bahagia. Kita rasakan kitalah insan paling bahagia di dunia. Namun ada kalanya kita diuji dengan kesedihan, kemurungan, kematian, kemalangan, kecelakaan dan segala macam perkara buruk yang ada di dunia ini.

Namun itulah lumrah putaran kehidupan manusia. Itu juga menunjukkan lemahnya kita sebagai hamba. Kelemahan, kekurangan adalah ciri membuktikan kita hanyalah hamba yang hina di sisiNya. Allah Maha Berkuasa atas setiap sesuatu. Yang menurunkan kesusahan adalah Allah. Allah jua yang memberikan kesenangan. Kita kena yakin dengan sepenuh hati kita mengenai perkara itu.

Ajaib sungguh kehidupan orang mukmin. Dalam setiap perkara pasti ada kebaikan. Jika dia ditimpa musibah dia bersabar. Itu kebaikan untuknya. Jika dia diberi kenikmatan dia bersyukur. Itu juga kebaikan. 2 sifat yang perlu dipupuk dalam diri seorang mukmin dalam mengharungi kehidupan ini ialah rasa kehambaan dan rasa bertuhan.

Rasa kehambaan.

Hamba Allah. Ya. Kita hamba Allah. Ada kalanya bila kita menderma kita hanya meletakkan nama ‘Hamba Allah’ sahaja. Alhamdulillah. Mungkin nak mengelakkan riya’. Namun sejauh mana kita merasakan kehambaan kepada Allah?

Rasa kehambaan yang menebal dalam jiwa mukmin akan menghilangkan atau memusnahkan sifat-sifat mazmumah seperti hilang rasa riyak, ujub, sum’ah, sombong, pemarah, hasad, dendam dan lain-lain lagi.

Kita hanya faqir. Allah juga yang Maha Kaya. Lantas apabila rasa kehambaan dipupuk kita akan sentiasa berharap padaNya, berdoa padaNya dan memohon padaNya. Itulah hamba yang benar-benar hamba.

Seseorang hamba suka atau tidak, susah atau senang perlu mengerjakan setiap perintah tuanna. Begitu juga dalam konsep kehambaan kepada ALLAH. Kita hamba. Nak tak nak kita tetap perlu melaksanakan perintahNya. Kita melakukan amal dan meninggalkan segala larangan bukan semata-mata mahu ganjaran dariNya, tapi apa yang lebih penting adalah kita menyukakan Allah.

Rasa bertuhan

Rasa bertuhan adalah perlu seiring dengan rasa kehambaan. Rasa bertuhan bermaksud rasa ada Tuhan, rasa sentiasa diperhati.

Hari-hari sentiasa rasa ada yang memerhati. Setiap masa rasa ada yang Maha Kuasa. Setiap detik sentiasa rasa ada yang mencatat amalan.

Andai kita dapat merasakan perasaan-perasaan tersebut, secara automatic kita akan sentiasa berwaspada dalam setiap tindakan kita. Dalam kata lain kita akan bersifat wara’. Sifat takbur hanya selayaknya milik Allah.

Rasa bertuhan juga menjadikan mukmin itu lebih kuat, lebih yakin. Manakan tidak, apabila ada ujian dan masalah maka kita yakin Allah bersama kita. Siapa dan apa lagi yang lebih hebat dari ALLAH? Bila Allah tak mengizinkan sesuatu mudharat maka mudharat tersebut tetap tidak berlaku. Bila kita sedih, tiada tempat mengadu Allah ada. Mengadulah sepuas-puasnya di hadapan Allah. Subhanallah.

Rasa kehambaan dan rasa bertuhan ini tidak jauh beza dengan sifat mahmudah khauf (takut) dan raja’ (harap). Bila kita takut pada hantu kita akan harap pada dia ke? Tidak..

Tapi berbeza dengan Allah, lagi kita takut denganNya lagi kita dekat padaNya, lagi kita mengharap padaNya. Kenapa perlu takut? Sebab Allah Maha Kuasa, Perkasa. Ingat peristiwa tsunami? Letusan gunung berapi? Banjir? Bayangkan saat kita melakukan dosa turun bencana tersebut. Nauzubillah. Takutlah dengan ancaman seksaNya yang sangat2 pedih. Gigitan nyamuk pun kalah. Apatah lagi azab yang lebih pedih.

Kenapa pula perlu harap? Sebab.. kita tiada apa2. Segalanya dari Allah. Apa-apa pun dari Allah. Jadi, perlu la sangat-sangat kita harap padaNya. Malah dalam solat juga kita akui “hanya Engkau sahaja tempat kami menyembah dan kepada Engkau sahaja kami memohon pertolongan”. Wallahu ‘alam