Saturday, July 10, 2010

Isra’ & Mikraj : Mukjizat dan Ibrah

Surah Al Isra' : 1

Maha Suci (Allah) yang telah memperjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidil Haram ke Masjid Al Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya agar kami perlihatkan kepadanya sebahagian tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar, Maha Melihat



Masjid Al Aqsa : Di sinilah perjalanan Rasul saw ke Sidratul Muntaha bermula

Assalamualaikum kepada para pembaca

Sungguh indah kalam mulia salam ini. Dalam sapaan ada doa kepada saudara seakidah dengannya. Di Malaysia, di Palestine, di Indonesia, di UK, USA, German, India, Jepun semua umat Islam menggunakan kalimah sapaan beserta doa ini. Memberi salam sunah, dapat pahala malah menjawabnya menjadi wajib. Kenapa wajib jawab salam? Ye la.. orang dah doakan kebaikan kepada kita kenapa tidak kita juga mendoakannya dengan menjawab salam. Sudah cukup indah kehidupan Islam dalam memberi sapaan. Jadi tidak perlulah untuk salam-salam lain seperti salam 1Malaysia dan lain-lain. Sebelum saya mencoret lebih panjang dengan panjang lebar untuk kali ini rasanya ingin saya mengajak saudara-saudari pembaca untuk bersyukur kerana pada hari entry ini ditulis merupakan hari Isra’ dan Mikraj, 27 Rejab hari kebesaran umat Islam yang tidak patut dilupakan.

Seolah-olah sudah menjadi adat kebiasaan apabila tiba hari-hari kebesaran Islam maka di sana sini di corong-corong surau dan masjid akan kedengaranlah ceramah-ceramah berkaitan hari-hari kebesaran tersebut. Tidak terlepas peristiwa Isra dan Mikraj ini. klik

Bila disebut Isra’ dan Mikraj apa yang terlintas di kotak fikiran kalian? Naik langit. Buraq. Masjidil Haram. Masjid Al-Aqsa. Lagi? Apa ye? Peristiwa-peristiwa luar biasa, Abu Bakr membenarkannya sedang kafir Quraisy menafikan. Alhamdulillah. Betul la semua tu. Sekurang-kurangnya sesiapa yang terlintas apa yang saya nyatakan tadi maknanya kalian masih ingat dan ada asas berkenaan apa yang terjadi dalam peristiwa Agung ini. Bagi yang blur bila dengar tentang peristiwa ini maka koreksilah diri. Cubalah banyakkan membaca buku-buku agama. ingatan untuk diri sendiri juga sebenarnya.

Isra’ Mikraj bukanlah semata-mata bercerita, berceramah mengenai peristiwa-peristiwa yang berlaku sepanjang perjalanan Junjungan Agung Nabi Muhammad saw, tetapi apa yang lebih penting adalah ibrah dan pengajaran di sebalik apa yang telah diperlihatkan kepada Baginda saw.

Tuntutan solat 5 waktu

Kita sedia maklum antara peristiwa yang berlaku adalah perintah Allah kepada umat Islam untuk solat 5 waktu. Tak perlulah diceritakan dengan lebih teliti bagaimana peristiwa Nabi ulang alik berjumpa Allah untuk dikurangkan dari 50 waktu akhirnya menjadi 5. Betapa besarnya tuntutan solat sehingga Allah sendiri yang memberikan perintah solat tanpa perlu kepada perantaraan Malaikat Jibril. Kesian kepada Nabi mulia Muhammad saw. Baginda terpaksa menebal muka memohon discount dikurangkan jumlah waktu bersolat kerana Baginda tahu umatnya tidak mampu untuk menunaikan sebanyak itu. Walaupun kita hanya solat 5 waktu tetapi Allah mengekalkan nilai 50 waktu. Subhanallah. Maha Pemurah Engkau, Ya Allah.

Cuba kita congak sekejap. Satu hari 24 jam atau 1440 minit. Kalau ditakdirkan kita perlu solat sebanyak 50 kali dalam masa sehari maknanya lebih kurang setiap 28 atau 29 minit kita perlu bersolat. Tetapi sekarang tuntutan solat hanya 5 waktu sahaja. Diulangi 5 waktu!! Malangnya terlalu ramai umat ISLAM hari ini yang meringan-ringankan tuntutan solat. Mereka telah meruntuhkan agama dalam diri mereka!!. Golongan ini seolah memandang enteng azab-azab ALLAH bagi mereka yang meninggalkan solat. Sibuk sangat dengan urusan duniawi. Sibuk sangat dengan berhibur. Sibuk sangat dengan harta dan kekayaan. Kalau kena gigit nyamuk pun dah tak boleh tahan apatah lagi azab ALLAH yang amat pedih!!!!!

Gambaran kepedihan azab dan kesenangan nikmat

Bila diteliti peristiwa-peristiwa yang diperlihatkan kepada Nabi Muhammad saw banyak perkara-perkara yang berbentuk azab dan tidak kurang juga janji Allah berupa kenikmatan bagi hamba-hambaNya yang soleh. Wahai gadis-gadis, makcik-makcik, datin-datin atau sesiapa sahaja yang dinamakan wanita Islam, tutuplah aurat kalian. Saya yang lelaki pun gerun bila tahu bahawa wanita yang tidak menutup aurat akan digantung pada rambutnya dan otaknya akan menggelegak dalam periuk. MasyaAllah. Meremang bulu roma. Kalau kawan tarik rambut pun dah sakit apatah lagi di hari pembalasan nanti. Bayangkan kalau tengah-tengah masak gulai di dapur tiba-tiba kita rendamkan kepala dalam periuk yang tengah menggelegak itu. Fuh.

Itu sebahagian dari azab yang telah diperhatikan kepada Baginda saw. Allah Maha Adil. Dalam peristiwa Isra’ dan Mikraj juga Allah perhatikan balasan baik bagi hamba-hambaNya yang menurut perintahNya. Rasulullah telah melihat pelbagai kenikmatan yang tidak ada di dunia. Antara pemilik-pemilik nikmat itu ialah mereka yang melazimkan dengan zikrullah dan taat kepada kedua ibu bapa. Subhanallah.

Lihatlah peristiwa-peristiwa Agung dengan mata hati. Apa yang penting ibrah dari sesuatu peristiwa itu bukanlah bermusim. Tetapi perlu sentiasa diamalkan. Moga Allah sentiasa membuka hati kita untuk sentiasa berusaha menjadi hambaNya yang taat. Amin