Friday, June 25, 2010

Bang, surau kat mana?

Gambar hisan

Cuti semester dah nak sampai ke penghujungnya. Kadang-kadang boring gak duduk rumah je. Macam biasa bila adik pun cuti sekali, maka selalulah layan dia berjalan. Dia memang kaki jalan. Kali ini destinasi yang dituju ialah Melaka Mall. Masa itu pun dah nak masuk waktu maghrib. Lepas makan malam aku ternampak ada pameran buku-buku agama. Aku tergerak nak pergi ke sana. Mak dengan adik masih lagu menghabiskan makanan di medan selera.

Di sinilah peristiwa pertama yang menarik perhatian ku. Seperti biasa di kedai buku atau pameran buku aku suka membelek-belek buku. Silap-silap kalau ada yang berkenan aku beli. Teringat pula nasihat Tok Guru Nik Aziz semasa merasmikan pesta buku di Kelantan. Dalam ucapannya beliau menasihatkan agar kita asingkan sedikit wang pendapatan untuk membeli buku-buku lebih-lebih lagiu buku-buku agama. Sedang tengah membelek-belek buku aku ternampak pasangan India. Aku yakin mereka ini beragama Hindu berdasarkan ada tanda marah di dahi perempuan itu. Apa yang cukup aku kagumi ialah mereka bukan sahaja membelek-belek buku novel bahasa Melayu tetapi mereka turut membelek buku agama dari segi akidah dan sebagainya. Dalam hati ku berdoa moga-moga suatu masa nanti mereka diberi hidayah oleh Allah taala dan menjadi sebahagian daripada saudara seakidahku. Amin.

Setelah itu aku dapat panggilan daripada adik ku. Rupanya mereka dah beredar dari medan selera itu. Ralit betul aku di kedai buku itu. Adik panggil aku ke bahagian kemeja lelaki. Rupanya mak dan adik ingin menghadiahkan ku kemeja dan seluar slack sempena birthday ku ke-24. Hehe. J setelah selesai mencuba dan padan dengan ku mak ku ke kaunter untuk membayar.

Jam dah 7.40 pm. Aku tak solat maghrib lagi! Aku terpandang seorang pekerja di pasar raya tersebut. Laki berbangsa Melayu dan aku cukup yakin dia juga beragama ISLAM. Aku berhajat untuk bertanyakan dia arah ke surau. Maklumlah aku jarang ke Melaka Mall ini dan tidak pernah bersolat di sini. Aku menghampirinya. Dalam masa yang sama berhampiran kami ada seorang pekerja wanita di pasar raya ini berbangsa India dan mungkin beragma Hindu.

“Bang, surau kat mane ye?”, sapaku kepada pemuda tersebut.

“Er, jap eh”, balasnya terpinga-pinga. Aku dah mula kehairanan. Dia tak tau di mana surau ke?

Tak semena-mena, dia mengahampiri wanita berbangsa India itu.

“Kak, surau di mana?”, tanya lelaki berkenaan serba salah.

Muka aku dah berkerut seribu. Kenapa dia kena tanya orang yang tidak ada kaitan surau dengan agama yang dianuti. Dalam hati aku berkata

“Takkanlah perempuan India ni tau kat mana surau”

Sangkaan ku jelas meleset. Dia memberi arah tunjuk ke surau itu!

Ya Allah, malunya aku! Saudara seakidah aku tidak tahu di mana surau sedangkan bangsa lain pula yang lebih tahu. Muka aku tebal menahan malu. Sempat juga aku jelling ke arah pemuda tersebut. Dia jelas lebih malu daripada aku. Tersengeh-sengeh macam kerang busuk. Malu ada. Marah ada.

Aku menceritakan pengalaman ku kepada sahabat baikku Rayyan. Dalam mesejnya dia membalas

Haha ~ this is reality muslim today

Aku cuba bersangka baik. Mungkinkah dia pekerja baru di sini. Tetapi kalau pekerja baru pun solat zohor dengan asar tadi dia bersolat di mana. Fuh…

YA ALLAH, ampunkanlah dosa pemuda ini. Berilah taufik dan hidayah kepadanya…

Kawan-kawan.. tingkatkan tarbiyah.. tingkatkan dakwah.. umat Islam kian parah!!!’

Tuesday, June 15, 2010

Teater Imam Bukhari – Perawi Hadis Sahih

Kini aku sudah pun berada dalam semester 7 pengajian ijazahku di Johor ini. Final exam ku pada sem ini nampaknya habis 2 minggu awal sebelum cuti pertengahan tahun. Buntu juga fikiranku bila tak tau hendak buat apa. Mujur ada junior ku mengajak ku menonton Teater Imam Bukhari – Perawi Hadis Sahih. Inilah pengalaman pertamaku menonton teater. Sebelum ini aku bukanlah kaki teater. Tetapi untuk kali ini aku tertarik menontonnya untuk mengetahui serba sedikit tentang tokoh hadis yang termasyhur ini.

Sekalung tahniah ku ucapkan kepada Waqaf An-Nur Coperation Berhad (WANCorp) dan juga Jabatan Mufti Negeri Johor kerana menganjurkan alternative hiburan berunsur Islam seperti ini. Islam tidak pernah menolak fitrah manusia untuk berhibur. Islam hanya menolak hiburan yang tidak menepati syariat yang ditetapkan. Teater yang di bawah arahan Othman Zainuddin ini telah berjaya menarik seramai 3000 orang pada hari kedua pementasannya.

Secara jujurnya saya sangat berpuas hati dengan pementasan yang dijalankan. Ada unsur serius. Ada unsur kecidan. Ada unsur sedih yang berpadu yang menarik perhatian penonton hingga ke akhir. Mungkin tidak perlu diceritakan secara terperici apa yang berlaku tersurat di sebalik pementasan tersebut

Entry kali ini saya lebih suka fokuskan kepada apa pengajaran yang kita boleh ambil dari teater tersebut. Adapun nama “Bukhari” itu bukanlah nama asal kepada perawi hadis sahih yang kita kagumi ini. “Bukhari” itu merupakan gelaran yang dinisbahkan kepada tempat kelahiran beliau iaitu “Bukhara” di Uzbekistan. Nama sebenar beliau ialah Muhammad bin Ismail bin Ibrahim Mughirah bin Bardizbah

Sebut sahaja Imam Bukhari ramai yang mengenalinya. Beliaulah perawi hadis-hadis sahih yang menjadi rujukan umat Islam sehingga kini. Berikut merupakan beberapa pengajaran yang saya dapat ambil:

  • 1. Kecintaan terhadap ilmu.

Kecintaannya kepada ilmu dapat dilihat apabila dari usia muda lagi beliau telah meninggalkan kampung halaman tercinta dan merantau ke seluruh Tanah Arab seperti Kufah, Mesir, Damsyik dan Baghdad dalam misi pengembaraannya untuk mengumpul, memulihara dan mempertahankan hadis yang menjadi sumber rujukan umat Islam. Pemilihan murabbi-murabbi (guru-guru) yang mursyid juga penting dalam mencari keberkatan ilmu. Cukup terkesan bagi saya pada satu babak di mana pada ketika itu Imam Bukhari dan sahabatnya, Imam Muslim yang telah difitnah oleh pemerintah dan pegawai-pegawai yang busuk hati kepadanya. Mereka telah mengambil keputusan untuk berhijrah dan meninggalkan negeri itu. Pada saat mereka meninggalkan negeri itu harta yang mereka miliki hanyalah Al Quran dan Kitab-kitab hadis yang telah dikumpulkan. Alangkah miskinnya ilmu kita berbanding ulama’-ulama’ terdahulu.

  • 2. Kesabaran dalam menghadapi ujian dalam menegakkan kebenaran

Inilah asam garam bagi pendakwah. Kehidupan pendakwah, pejuang-pejuang ISLAM pastinya bukan kehidupan yang senang dan selesa. Kehidupan mereka bukanlah kehidupan yang dihamparkan dengan permaidani merah, berkereta mewah, tinggal di kediaman-kediaman indah lagi selesa. Mereka pastinya akan diuji dengan pelbagai ujian dan fitnah. Maka kehidupan Imam Bukhari juga begitu. Ia difitnah, diejek, dikejii, dihalau dari negerinya sendiri dan pelbagai lagi ujian yang menimpanya.

Perkara ini bertambah sedih apabila bangsa yang seakidah dengannya yang menghalau dan mengejek beliau. Sejarah kini berulang kembali pada zaman ini. Lihatlah di Negara-negara orang Islam. Orang Muslim bercakaran sesame sendiri. Ulama’-ulama’ dihina. Malah ada juga pengampu-pengampu dari kalangan mereka yang mendalami agama memuja-memuji pemerintah-pemerintah yang jelas melanggar hokum-hukum Allah. Mereka sedar akan kebenaran yang sepatutnya. Tetapi mereka sembunyikan malah membisu di hadapan pemerintah-pemerintah zalim semata-mata untuk menjaga kepentingan peribadi dan periuk nasi mereka sahaja.

Mungkin dua pengajaran utama ini sahaja yang dapat saya nukilkan untuk bacaan para pengunjung blog ini. Bagi mereka yang menonton teater ini, mereka pasti dapat mempelajari sesatu daripada teater ini sahaja. Jika menonton teater ini sekadar untuk berhibur tanpa mengambil apa-apa pengajaran maka rugilah mereka.