Sunday, December 19, 2010

Kehidupan seharian kita penuh dengan warna-warni. Ada kalanya hidup kita terasa indah dan bahagia. Kita rasakan kitalah insan paling bahagia di dunia. Namun ada kalanya kita diuji dengan kesedihan, kemurungan, kematian, kemalangan, kecelakaan dan segala macam perkara buruk yang ada di dunia ini.

Namun itulah lumrah putaran kehidupan manusia. Itu juga menunjukkan lemahnya kita sebagai hamba. Kelemahan, kekurangan adalah ciri membuktikan kita hanyalah hamba yang hina di sisiNya. Allah Maha Berkuasa atas setiap sesuatu. Yang menurunkan kesusahan adalah Allah. Allah jua yang memberikan kesenangan. Kita kena yakin dengan sepenuh hati kita mengenai perkara itu.

Ajaib sungguh kehidupan orang mukmin. Dalam setiap perkara pasti ada kebaikan. Jika dia ditimpa musibah dia bersabar. Itu kebaikan untuknya. Jika dia diberi kenikmatan dia bersyukur. Itu juga kebaikan. 2 sifat yang perlu dipupuk dalam diri seorang mukmin dalam mengharungi kehidupan ini ialah rasa kehambaan dan rasa bertuhan.

Rasa kehambaan.

Hamba Allah. Ya. Kita hamba Allah. Ada kalanya bila kita menderma kita hanya meletakkan nama ‘Hamba Allah’ sahaja. Alhamdulillah. Mungkin nak mengelakkan riya’. Namun sejauh mana kita merasakan kehambaan kepada Allah?

Rasa kehambaan yang menebal dalam jiwa mukmin akan menghilangkan atau memusnahkan sifat-sifat mazmumah seperti hilang rasa riyak, ujub, sum’ah, sombong, pemarah, hasad, dendam dan lain-lain lagi.

Kita hanya faqir. Allah juga yang Maha Kaya. Lantas apabila rasa kehambaan dipupuk kita akan sentiasa berharap padaNya, berdoa padaNya dan memohon padaNya. Itulah hamba yang benar-benar hamba.

Seseorang hamba suka atau tidak, susah atau senang perlu mengerjakan setiap perintah tuanna. Begitu juga dalam konsep kehambaan kepada ALLAH. Kita hamba. Nak tak nak kita tetap perlu melaksanakan perintahNya. Kita melakukan amal dan meninggalkan segala larangan bukan semata-mata mahu ganjaran dariNya, tapi apa yang lebih penting adalah kita menyukakan Allah.

Rasa bertuhan

Rasa bertuhan adalah perlu seiring dengan rasa kehambaan. Rasa bertuhan bermaksud rasa ada Tuhan, rasa sentiasa diperhati.

Hari-hari sentiasa rasa ada yang memerhati. Setiap masa rasa ada yang Maha Kuasa. Setiap detik sentiasa rasa ada yang mencatat amalan.

Andai kita dapat merasakan perasaan-perasaan tersebut, secara automatic kita akan sentiasa berwaspada dalam setiap tindakan kita. Dalam kata lain kita akan bersifat wara’. Sifat takbur hanya selayaknya milik Allah.

Rasa bertuhan juga menjadikan mukmin itu lebih kuat, lebih yakin. Manakan tidak, apabila ada ujian dan masalah maka kita yakin Allah bersama kita. Siapa dan apa lagi yang lebih hebat dari ALLAH? Bila Allah tak mengizinkan sesuatu mudharat maka mudharat tersebut tetap tidak berlaku. Bila kita sedih, tiada tempat mengadu Allah ada. Mengadulah sepuas-puasnya di hadapan Allah. Subhanallah.

Rasa kehambaan dan rasa bertuhan ini tidak jauh beza dengan sifat mahmudah khauf (takut) dan raja’ (harap). Bila kita takut pada hantu kita akan harap pada dia ke? Tidak..

Tapi berbeza dengan Allah, lagi kita takut denganNya lagi kita dekat padaNya, lagi kita mengharap padaNya. Kenapa perlu takut? Sebab Allah Maha Kuasa, Perkasa. Ingat peristiwa tsunami? Letusan gunung berapi? Banjir? Bayangkan saat kita melakukan dosa turun bencana tersebut. Nauzubillah. Takutlah dengan ancaman seksaNya yang sangat2 pedih. Gigitan nyamuk pun kalah. Apatah lagi azab yang lebih pedih.

Kenapa pula perlu harap? Sebab.. kita tiada apa2. Segalanya dari Allah. Apa-apa pun dari Allah. Jadi, perlu la sangat-sangat kita harap padaNya. Malah dalam solat juga kita akui “hanya Engkau sahaja tempat kami menyembah dan kepada Engkau sahaja kami memohon pertolongan”. Wallahu ‘alam

Saturday, July 10, 2010

Isra’ & Mikraj : Mukjizat dan Ibrah

Surah Al Isra' : 1

Maha Suci (Allah) yang telah memperjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidil Haram ke Masjid Al Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya agar kami perlihatkan kepadanya sebahagian tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar, Maha Melihat



Masjid Al Aqsa : Di sinilah perjalanan Rasul saw ke Sidratul Muntaha bermula

Assalamualaikum kepada para pembaca

Sungguh indah kalam mulia salam ini. Dalam sapaan ada doa kepada saudara seakidah dengannya. Di Malaysia, di Palestine, di Indonesia, di UK, USA, German, India, Jepun semua umat Islam menggunakan kalimah sapaan beserta doa ini. Memberi salam sunah, dapat pahala malah menjawabnya menjadi wajib. Kenapa wajib jawab salam? Ye la.. orang dah doakan kebaikan kepada kita kenapa tidak kita juga mendoakannya dengan menjawab salam. Sudah cukup indah kehidupan Islam dalam memberi sapaan. Jadi tidak perlulah untuk salam-salam lain seperti salam 1Malaysia dan lain-lain. Sebelum saya mencoret lebih panjang dengan panjang lebar untuk kali ini rasanya ingin saya mengajak saudara-saudari pembaca untuk bersyukur kerana pada hari entry ini ditulis merupakan hari Isra’ dan Mikraj, 27 Rejab hari kebesaran umat Islam yang tidak patut dilupakan.

Seolah-olah sudah menjadi adat kebiasaan apabila tiba hari-hari kebesaran Islam maka di sana sini di corong-corong surau dan masjid akan kedengaranlah ceramah-ceramah berkaitan hari-hari kebesaran tersebut. Tidak terlepas peristiwa Isra dan Mikraj ini. klik

Bila disebut Isra’ dan Mikraj apa yang terlintas di kotak fikiran kalian? Naik langit. Buraq. Masjidil Haram. Masjid Al-Aqsa. Lagi? Apa ye? Peristiwa-peristiwa luar biasa, Abu Bakr membenarkannya sedang kafir Quraisy menafikan. Alhamdulillah. Betul la semua tu. Sekurang-kurangnya sesiapa yang terlintas apa yang saya nyatakan tadi maknanya kalian masih ingat dan ada asas berkenaan apa yang terjadi dalam peristiwa Agung ini. Bagi yang blur bila dengar tentang peristiwa ini maka koreksilah diri. Cubalah banyakkan membaca buku-buku agama. ingatan untuk diri sendiri juga sebenarnya.

Isra’ Mikraj bukanlah semata-mata bercerita, berceramah mengenai peristiwa-peristiwa yang berlaku sepanjang perjalanan Junjungan Agung Nabi Muhammad saw, tetapi apa yang lebih penting adalah ibrah dan pengajaran di sebalik apa yang telah diperlihatkan kepada Baginda saw.

Tuntutan solat 5 waktu

Kita sedia maklum antara peristiwa yang berlaku adalah perintah Allah kepada umat Islam untuk solat 5 waktu. Tak perlulah diceritakan dengan lebih teliti bagaimana peristiwa Nabi ulang alik berjumpa Allah untuk dikurangkan dari 50 waktu akhirnya menjadi 5. Betapa besarnya tuntutan solat sehingga Allah sendiri yang memberikan perintah solat tanpa perlu kepada perantaraan Malaikat Jibril. Kesian kepada Nabi mulia Muhammad saw. Baginda terpaksa menebal muka memohon discount dikurangkan jumlah waktu bersolat kerana Baginda tahu umatnya tidak mampu untuk menunaikan sebanyak itu. Walaupun kita hanya solat 5 waktu tetapi Allah mengekalkan nilai 50 waktu. Subhanallah. Maha Pemurah Engkau, Ya Allah.

Cuba kita congak sekejap. Satu hari 24 jam atau 1440 minit. Kalau ditakdirkan kita perlu solat sebanyak 50 kali dalam masa sehari maknanya lebih kurang setiap 28 atau 29 minit kita perlu bersolat. Tetapi sekarang tuntutan solat hanya 5 waktu sahaja. Diulangi 5 waktu!! Malangnya terlalu ramai umat ISLAM hari ini yang meringan-ringankan tuntutan solat. Mereka telah meruntuhkan agama dalam diri mereka!!. Golongan ini seolah memandang enteng azab-azab ALLAH bagi mereka yang meninggalkan solat. Sibuk sangat dengan urusan duniawi. Sibuk sangat dengan berhibur. Sibuk sangat dengan harta dan kekayaan. Kalau kena gigit nyamuk pun dah tak boleh tahan apatah lagi azab ALLAH yang amat pedih!!!!!

Gambaran kepedihan azab dan kesenangan nikmat

Bila diteliti peristiwa-peristiwa yang diperlihatkan kepada Nabi Muhammad saw banyak perkara-perkara yang berbentuk azab dan tidak kurang juga janji Allah berupa kenikmatan bagi hamba-hambaNya yang soleh. Wahai gadis-gadis, makcik-makcik, datin-datin atau sesiapa sahaja yang dinamakan wanita Islam, tutuplah aurat kalian. Saya yang lelaki pun gerun bila tahu bahawa wanita yang tidak menutup aurat akan digantung pada rambutnya dan otaknya akan menggelegak dalam periuk. MasyaAllah. Meremang bulu roma. Kalau kawan tarik rambut pun dah sakit apatah lagi di hari pembalasan nanti. Bayangkan kalau tengah-tengah masak gulai di dapur tiba-tiba kita rendamkan kepala dalam periuk yang tengah menggelegak itu. Fuh.

Itu sebahagian dari azab yang telah diperhatikan kepada Baginda saw. Allah Maha Adil. Dalam peristiwa Isra’ dan Mikraj juga Allah perhatikan balasan baik bagi hamba-hambaNya yang menurut perintahNya. Rasulullah telah melihat pelbagai kenikmatan yang tidak ada di dunia. Antara pemilik-pemilik nikmat itu ialah mereka yang melazimkan dengan zikrullah dan taat kepada kedua ibu bapa. Subhanallah.

Lihatlah peristiwa-peristiwa Agung dengan mata hati. Apa yang penting ibrah dari sesuatu peristiwa itu bukanlah bermusim. Tetapi perlu sentiasa diamalkan. Moga Allah sentiasa membuka hati kita untuk sentiasa berusaha menjadi hambaNya yang taat. Amin

Friday, June 25, 2010

Bang, surau kat mana?

Gambar hisan

Cuti semester dah nak sampai ke penghujungnya. Kadang-kadang boring gak duduk rumah je. Macam biasa bila adik pun cuti sekali, maka selalulah layan dia berjalan. Dia memang kaki jalan. Kali ini destinasi yang dituju ialah Melaka Mall. Masa itu pun dah nak masuk waktu maghrib. Lepas makan malam aku ternampak ada pameran buku-buku agama. Aku tergerak nak pergi ke sana. Mak dengan adik masih lagu menghabiskan makanan di medan selera.

Di sinilah peristiwa pertama yang menarik perhatian ku. Seperti biasa di kedai buku atau pameran buku aku suka membelek-belek buku. Silap-silap kalau ada yang berkenan aku beli. Teringat pula nasihat Tok Guru Nik Aziz semasa merasmikan pesta buku di Kelantan. Dalam ucapannya beliau menasihatkan agar kita asingkan sedikit wang pendapatan untuk membeli buku-buku lebih-lebih lagiu buku-buku agama. Sedang tengah membelek-belek buku aku ternampak pasangan India. Aku yakin mereka ini beragama Hindu berdasarkan ada tanda marah di dahi perempuan itu. Apa yang cukup aku kagumi ialah mereka bukan sahaja membelek-belek buku novel bahasa Melayu tetapi mereka turut membelek buku agama dari segi akidah dan sebagainya. Dalam hati ku berdoa moga-moga suatu masa nanti mereka diberi hidayah oleh Allah taala dan menjadi sebahagian daripada saudara seakidahku. Amin.

Setelah itu aku dapat panggilan daripada adik ku. Rupanya mereka dah beredar dari medan selera itu. Ralit betul aku di kedai buku itu. Adik panggil aku ke bahagian kemeja lelaki. Rupanya mak dan adik ingin menghadiahkan ku kemeja dan seluar slack sempena birthday ku ke-24. Hehe. J setelah selesai mencuba dan padan dengan ku mak ku ke kaunter untuk membayar.

Jam dah 7.40 pm. Aku tak solat maghrib lagi! Aku terpandang seorang pekerja di pasar raya tersebut. Laki berbangsa Melayu dan aku cukup yakin dia juga beragama ISLAM. Aku berhajat untuk bertanyakan dia arah ke surau. Maklumlah aku jarang ke Melaka Mall ini dan tidak pernah bersolat di sini. Aku menghampirinya. Dalam masa yang sama berhampiran kami ada seorang pekerja wanita di pasar raya ini berbangsa India dan mungkin beragma Hindu.

“Bang, surau kat mane ye?”, sapaku kepada pemuda tersebut.

“Er, jap eh”, balasnya terpinga-pinga. Aku dah mula kehairanan. Dia tak tau di mana surau ke?

Tak semena-mena, dia mengahampiri wanita berbangsa India itu.

“Kak, surau di mana?”, tanya lelaki berkenaan serba salah.

Muka aku dah berkerut seribu. Kenapa dia kena tanya orang yang tidak ada kaitan surau dengan agama yang dianuti. Dalam hati aku berkata

“Takkanlah perempuan India ni tau kat mana surau”

Sangkaan ku jelas meleset. Dia memberi arah tunjuk ke surau itu!

Ya Allah, malunya aku! Saudara seakidah aku tidak tahu di mana surau sedangkan bangsa lain pula yang lebih tahu. Muka aku tebal menahan malu. Sempat juga aku jelling ke arah pemuda tersebut. Dia jelas lebih malu daripada aku. Tersengeh-sengeh macam kerang busuk. Malu ada. Marah ada.

Aku menceritakan pengalaman ku kepada sahabat baikku Rayyan. Dalam mesejnya dia membalas

Haha ~ this is reality muslim today

Aku cuba bersangka baik. Mungkinkah dia pekerja baru di sini. Tetapi kalau pekerja baru pun solat zohor dengan asar tadi dia bersolat di mana. Fuh…

YA ALLAH, ampunkanlah dosa pemuda ini. Berilah taufik dan hidayah kepadanya…

Kawan-kawan.. tingkatkan tarbiyah.. tingkatkan dakwah.. umat Islam kian parah!!!’

Tuesday, June 15, 2010

Teater Imam Bukhari – Perawi Hadis Sahih

Kini aku sudah pun berada dalam semester 7 pengajian ijazahku di Johor ini. Final exam ku pada sem ini nampaknya habis 2 minggu awal sebelum cuti pertengahan tahun. Buntu juga fikiranku bila tak tau hendak buat apa. Mujur ada junior ku mengajak ku menonton Teater Imam Bukhari – Perawi Hadis Sahih. Inilah pengalaman pertamaku menonton teater. Sebelum ini aku bukanlah kaki teater. Tetapi untuk kali ini aku tertarik menontonnya untuk mengetahui serba sedikit tentang tokoh hadis yang termasyhur ini.

Sekalung tahniah ku ucapkan kepada Waqaf An-Nur Coperation Berhad (WANCorp) dan juga Jabatan Mufti Negeri Johor kerana menganjurkan alternative hiburan berunsur Islam seperti ini. Islam tidak pernah menolak fitrah manusia untuk berhibur. Islam hanya menolak hiburan yang tidak menepati syariat yang ditetapkan. Teater yang di bawah arahan Othman Zainuddin ini telah berjaya menarik seramai 3000 orang pada hari kedua pementasannya.

Secara jujurnya saya sangat berpuas hati dengan pementasan yang dijalankan. Ada unsur serius. Ada unsur kecidan. Ada unsur sedih yang berpadu yang menarik perhatian penonton hingga ke akhir. Mungkin tidak perlu diceritakan secara terperici apa yang berlaku tersurat di sebalik pementasan tersebut

Entry kali ini saya lebih suka fokuskan kepada apa pengajaran yang kita boleh ambil dari teater tersebut. Adapun nama “Bukhari” itu bukanlah nama asal kepada perawi hadis sahih yang kita kagumi ini. “Bukhari” itu merupakan gelaran yang dinisbahkan kepada tempat kelahiran beliau iaitu “Bukhara” di Uzbekistan. Nama sebenar beliau ialah Muhammad bin Ismail bin Ibrahim Mughirah bin Bardizbah

Sebut sahaja Imam Bukhari ramai yang mengenalinya. Beliaulah perawi hadis-hadis sahih yang menjadi rujukan umat Islam sehingga kini. Berikut merupakan beberapa pengajaran yang saya dapat ambil:

  • 1. Kecintaan terhadap ilmu.

Kecintaannya kepada ilmu dapat dilihat apabila dari usia muda lagi beliau telah meninggalkan kampung halaman tercinta dan merantau ke seluruh Tanah Arab seperti Kufah, Mesir, Damsyik dan Baghdad dalam misi pengembaraannya untuk mengumpul, memulihara dan mempertahankan hadis yang menjadi sumber rujukan umat Islam. Pemilihan murabbi-murabbi (guru-guru) yang mursyid juga penting dalam mencari keberkatan ilmu. Cukup terkesan bagi saya pada satu babak di mana pada ketika itu Imam Bukhari dan sahabatnya, Imam Muslim yang telah difitnah oleh pemerintah dan pegawai-pegawai yang busuk hati kepadanya. Mereka telah mengambil keputusan untuk berhijrah dan meninggalkan negeri itu. Pada saat mereka meninggalkan negeri itu harta yang mereka miliki hanyalah Al Quran dan Kitab-kitab hadis yang telah dikumpulkan. Alangkah miskinnya ilmu kita berbanding ulama’-ulama’ terdahulu.

  • 2. Kesabaran dalam menghadapi ujian dalam menegakkan kebenaran

Inilah asam garam bagi pendakwah. Kehidupan pendakwah, pejuang-pejuang ISLAM pastinya bukan kehidupan yang senang dan selesa. Kehidupan mereka bukanlah kehidupan yang dihamparkan dengan permaidani merah, berkereta mewah, tinggal di kediaman-kediaman indah lagi selesa. Mereka pastinya akan diuji dengan pelbagai ujian dan fitnah. Maka kehidupan Imam Bukhari juga begitu. Ia difitnah, diejek, dikejii, dihalau dari negerinya sendiri dan pelbagai lagi ujian yang menimpanya.

Perkara ini bertambah sedih apabila bangsa yang seakidah dengannya yang menghalau dan mengejek beliau. Sejarah kini berulang kembali pada zaman ini. Lihatlah di Negara-negara orang Islam. Orang Muslim bercakaran sesame sendiri. Ulama’-ulama’ dihina. Malah ada juga pengampu-pengampu dari kalangan mereka yang mendalami agama memuja-memuji pemerintah-pemerintah yang jelas melanggar hokum-hukum Allah. Mereka sedar akan kebenaran yang sepatutnya. Tetapi mereka sembunyikan malah membisu di hadapan pemerintah-pemerintah zalim semata-mata untuk menjaga kepentingan peribadi dan periuk nasi mereka sahaja.

Mungkin dua pengajaran utama ini sahaja yang dapat saya nukilkan untuk bacaan para pengunjung blog ini. Bagi mereka yang menonton teater ini, mereka pasti dapat mempelajari sesatu daripada teater ini sahaja. Jika menonton teater ini sekadar untuk berhibur tanpa mengambil apa-apa pengajaran maka rugilah mereka.

Friday, March 19, 2010

Tarbiah dari Budak Kecik!!

Cuti sekolah kali ini terasa terlalu hambar bagi diriku. Tidak seperti cuti sekolah sebelum-sebelum ini. Tiada program motivasi untuk aku jadi fasilitator ataupun mana-mana AJK teknikal yang lain, tak pergi jalan-jalan melancong, tak pergi main bowling samada dengan sahabat-sahabat baikku Amin, Rayyan, Adib dan lain mahupun dengan dinda tercinta. Duduk rumah main internet, main game, agak-agak rajin, baca buku – “Dilema Melayu-Islam – Ustaz Pahrol Mohd Juoi” yang tak sudah-sudah. Maklumlan bila membaca nak kena baca dengan teliti, tak reti nak jadi “fast reader”. Sekurang-kurangnya budaya ingin membaca itu masih lagi melekat dalam diri ini. Ye la.. seorang Muslim kan kena menguasai pelbagai bidang.. Barulah boleh jadi Mukmin Profesional, Mukmin Power!!!

“Tiit…tiit.. tiit.. tiit..”. Telefon bimbitku bordering menandakan ada pesanan SMS yang masuk. Jiranku merangkap kawan baik masa sekolah agama petang kecik-kecik dulu =)


Salam. Apa khabar. Lama tak dengar berita. Sekarang tengah cuti kan? InsyaAllah jumaat malam ni kami sekeluarga nak jemput awak datang kenduri tahlil arwah abang kat rumah saya. Lepas maghrib tau. Ajak la sekali satu family

Dipendekkan cerita malam yang dijanjikan kami pun memenuhi jemputan ke majlis kenduri tahlil tersebut. Setibanya kami di sana majlis baru hendak bermula. Tidak seperti kebiasaan kenduri tahlil hanya membaca Yaasin dan Tahlil. Tetapi majlis ini dimulakan dengan bacaan Surah Dhuha hingga An Nas, berzanji dan tahlil. Ini bukanlah perkara yang hendak dibincangkan sangat.

Semasa kami sibuk membaca kalimah-kalimah suci Ilahi kelihatan beberapa orang yang datang lewat. Apa yang menarik perhatianku adalah sebuah keluarga, ada ayah, mak, seorang anak lelaki dan dua anak perempuan. Tatkala melihat family ini terdetik dalam hati “ Family ini mesti hebat. Mak dan ayahnya nampak alim. Anak-anak perempuannya pun dari kecik dah diajar memakai tudung labuh”

Aku meneruskan membaca kalimah-kalimah suci bersama para jemaah lain. Ketika selesai membaca surah-surah, berzanji dan berdoa seperti biasa masa yang sangat ditunggu-tunggu. Masa makan! Hahaha..


Aku duduk berhampiran dengan ayahku. Berhampiran denganku juga adalah bapa family yang aku cakap tadi bersama anak-anaknya. Baiknya bapak tu hingga menyuapkan anak-anaknya makan. Mungkin dia sedar tuntutan Islam untuk berlaku baik kepada anak-anak.

Tatkala makan aku hanya berdiam diri mendengar orang-orang tua bersembang. Aku tak ambil peduli. Janji perutku kenyang. Hehehe. Sesekali mataku menjeling melihat gelagat anak beranak itu sehingga la satu babak yang sangat terkesan di hati ini.

"Ayah, nak air”, pinta salah seorang anak perempuannya itu tatkala bapanya baru sahaja menyuapkan nasi ke mulut anaknya.

“Ish.. tak elok la bila makan asyik nak minum air je. Tunggu habis makan baru minum air”, jawapan seorang bapa dengan penuh hikmah.



Budak itu berdiam diri seketika sambil matanya memerhatikan diriku yang betul-betul berada di hadapannya. Mungkin dia ligat berfikir. Keliru. Keliru dengan apa yang didengar dari bapanya dan apa yang dia sedang perhatikan. Tingkah laku ku ketika itu tidak ubah sepertinya. Makan bersulam minum air.

“Ayah, tak elok macam orang tu eh?” sambil jarinya menunding jari ke arah ku!!.


Aku terkesima beberapa saat. Rasa nak tersembur je nasi berlauk daging kicap yang aku tengah kunyah. Malunya!!! Mungkin kalau ada yang nampak muka aku ketika itu pasti perasaan perubahan wajahku yang merah bagai udang kena bakar. Tak senang duduk!!

Terus bapak budak kecik itu memalingkan muka melihat arah yang ditunjukkan oleh anaknya. Aku tersipu-sipu malu. Dia pun tersipu-sipu malu dengan sikap anaknya.

MasyaAllah!!! Mudahnya kalau Allah nak mentarbiyah (mendidik) seseorang itu. Allah boleh mentarbiyah seseorang itu dengan pelbagai cara.
Alam sekitar, haiwan, penyakit, kemiskinan, kekayaan, nyamuk. Budak Kecik! Semuanya boleh dijadikan asbab untuk kita menerima tarbiyah dan hidayah dariNya. Subhanallah. Thank you Allah!!

“Sesungguhnya Allah tidak segan untuk membuat perumpaan seekor nyamuk atau yang lebih kecil dari itu. Adapun oang-orang yang beriman, mereka tahu bahawa itu kebenaran dari Tuhan. Tetapi mereka yang kafir berkata, “Apa maksud Allah dengan perumpamaan ini?” Dengan (perumpamaan) itu banyak yang orang yang dibiarkanNya sesat, dan dengan itu banyak pula yang diberiNya petunjuk. Tetapi tidak ada yang Dia sesatkan dengan (perumpamaan) itu selain orang-orang fasik”
(Al Baqarah : 26)